Keselamatan dalam Pekerjaan Perlu dibudayakan Sejak di Peringkat Sekolah dan Institut Pengajian Tinggi

 

Shafie Bin Sidek (B.Eng (Hons); MBA)

Pensyarah

Elektrical, Automation & Computer Section

Universiti Kuala Lumpur - Malaysia France Institute

email: [email protected]

 

15 Februari 2004

 

 

Peningkatan bilangan institut-institut pengajian tinggi teknikal bertujuan untuk meningkatkan pemindahan teknologi selari dengan kemajuan sains dan teknologi semasa. Vektor utama yang digunakan adalah melalui pembelian jentera-jentera berat dan mesin-mesin untuk dijadikan bahan kajian dan alat bantuan pengajaran. Bidang-bidang teknikal seperti automasi, elektronik dan mekanikal adalah antara bidang yang diberi tumpuan di  kebanyakan institut tersebut.

 

Bagaimanapun aspek keselamatan dan kesihatan pekerja tidak diberi perhatian yang serius kerana ia amat penting bagi menjamin kesejahteraan seluruh ahli organisasi. Kebanyakan pihak memandang remeh terhadap perkara ini kerana ramai yang menganggap bahawa perkara ini hanya membebankan dan melambatkan operasi. Kajian Kementerian Sumber dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan bahawa 125,506 kes kemalangan industri telah berlaku pada tahun 1994 dan menurun 30% kepada 88,398 kes pada 1998. Walaupun angka tersebut menunjukkan penurunan, namun ia masih boleh dianggap tinggi. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Dr. Lee Lam Thye telah  menyarankan kepada pihak- pihak yang terbabit supaya lebih giat berusaha untuk mencapai matlamat kemalangan sifar di tempat kerja.

 

Menurut penyelidikan aktuarial tidak rasmi oleh pakar rundingan Lindungan Kerja (M) Sdn Bhd (ushasama MMI Australia dan sebuah syarikat tempatan)  pada awal 90-an, kos tidak tetap Keluaran Negara Kasar (KNK) melebihi RM 1 billion akibat kemalangan dalam pelbagai industri.

 

Berikutan itu, pada awal bulan Jun 2000 yang lalu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Lee Lam Thye telah menyarankan supaya pihak pengurusan sekolah merangka dan melaksanakan dasar keselamatan dan kesihatan di sekolah masing-masing. Menurut beliau, mengikut beberapa peruntukan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, pihak pengurusan sekolah dan kementerian pendidikan yang mewakili majikan mempunyai tanggungjawab am untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja masing-masing selain melindungi pihak lain yang terjejas akibat aktiviti di sekolah. Bertepatan dengan peruntukan akta tersebut, maka sudah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan sekolah untuk merangka dasar keselamatan dan kesihatan di sekolah.

 

Datuk Lee mencadangkan agar sekolah yang mempunyai 40 atau lebih kakitangan, patut menubuhkan sebuah jawatankuasa supaya kakitangan dan pengurusan sekolah berbincang dan menyelesaikan semua perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Hasil daripada beberapa kajian terdahulu menunjukkan bahawa guru mempunyai masalah dalam aspek pengurusan bengkel termasuklah aspek pengurusan keselamatan bengkel.

 

            Satu pemeriksaan berkaitan dengan perlaksanaan matapelajaran kemahiran hidup telah dibuat oleh Jemaah Nazir Persekutuan pada tahun 1990 yang melibatkan 97 buah sekolah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak. Antara aspek yang dilihat termasuklah pengelolaan Bengkel seni Perusahaan. Hasil pemeriksaan tersebut didapati pengurusan bengkel di kebanyakan sekolah masih berada pada tahap yang masih sederhana (45.36% sekolah) dan terdapat 15.46% sekolah berada pada tahap yang masih lemah dalam pengurusan bengkel.

 

Pada tahun 1991 Jemaah Nazir Persekutuan telah membuat pemeriksaan yang luas terhadap matapelajaran Kemahiran Hidup Pilihan Seni Perusahaan yang melibatkan 109 buah sekolah di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Pahang Kelantan, Sabah dan Sarawak. Pemeriksaan yang lebih terperinci terhadap beberapa aspek pengurusan berada pada tahap sederhana. Aspek pengurusan bengkel yang paling banyak masih berada pada tahap sederhana dan lemah ialah keselamatan dan kebersihan (78.8% sekolah). Beberapa aspek lain yang masih menjadi masalah kepada sekolah dan masih berada pada tahap yang sederhana dan lemah ialah pengurusan alatan (57.7% sekolah), pengurusan bahan (52.11% sekolah).

 

            Satu kajian lagi pada tahun yang sama telah dibuat oleh Tengku Adli Raja Omar (1992) bagi mengenalpasti perlaksanaan Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan Pertanian di Sarawak. Kajiannya mendapati guru-guru menghadapi masalah dalam beberapa aspek pengurusan bengkel antaranya ialah 51% responden mengatakan mereka sering menghadapi masalah kehilangan alatan tangan yang kecil, 41% guru mengatakan mereka menghadapi masalah kekurangan peralatan kerana sukar untuk mendapatkan bekalan dan 34% guru mengatakan mereka menhadapi masalah tiada bilik khas untuk pengajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. Manakala 66% responden yang mengatakan di sekolah mereka adal bilik khas masih mengalami masalah kerana bilik-bilik tersebut merupakan bilik yang diubahsuai dan keadaanya sempit dan panas.

 

Ramlah Hamzah (1993) dalam kajiannya mengenai “ persepsi dan masalah guru terhadap matapelajaran kemahiran hidup” mendapati guru-guru menghadapi masalah dalam beberapa aspek pengurusan bengkel. Antara masalah-masalah yang timbul ialah kekurangan bengkel untuk kelas amali, bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam satu-satu kelas amali, kekurangan peralatan untuk kelas amali dan keperluan masa yang panjang bagi membuat persiapan dan penyediaan alat-alat bantu mengajar dalam bengkel. Tinjauan lebih lanjut terhadap tahap pengetahuan guru pula telah mennjukkan bahawa guru-guru masih mempunyai tahap pengetahuan keselamatan yang berada pada tahap sederhana dan lemah.

 

            Hasil kajian Mahmud Othman (1995) terhadap 62 orang guru dari sekolah-sekolah di sekitar Kelantan mendapati bahawa walaupun guru mengakui bahawa mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lebih tinggi dalam aspek keselamatan bengkel (min=3.523) berbanding dengan aspek lain dalam pengurusan bengkel tetapi guru-guru juga mengakui bahawa masalah yang paling tinggi dihadapi oleh mereka juga adalah dalam aspek pengurusan keselamatan dalam bengkel (min = 3.095). Ini menunjukkan bahawa dengan tahap pengetahuan yang ada pada guru masih belum dapat memastikan bahawa pengurusan aspek keselamatan terjamin daripada segi kecekapan dan keberkesanannya.

 

            Tinjauan literature menunjukkan tidak banyak kajian empirical mengenai perlaksanaan system keselamatan dan kesihatan pekerjaan di pusat pengajian tinggi teknikal dan industri di Malaysia. Justeru, adalah kritikal kajian ini dijalankan untuk menilai kurikulum dan perlaksanaan system keselamatan dan kesihatan pekerjaan di pusat pengajian tinggi teknikal dan di sector industri.

 

Ini membawa dua implikasi, pertama, kemungkinan diperlukan satu tahap pengetahuan dan kemahiran yang lebih tinggi bagi memastikan segala masalah yang bersangkutan dengan keselamatan dapat diatasi. Perkara di atas mungkin adalah disebabkan oleh aspek keselamatan mempunyai kaitan langsung dengan pelajar dan ia adalah sesuatu yang semestinya dihadapi setiap hari. Oleh itu kemungkinan ia untuk menemui masalah juga adalah lebih besar. Kedua, pengetahuan dan kemahiran adalah berbeza daripada pelaksanaan atau tindakan terhadap pengetahuan seseorang itu. Apa yang patutnya berlaku ialah pengetahuan dan kemahiran akan dijelmakan dalam bentuk perlakuan tetapi tidak merupakan suatu yang ganjil sekiranya perkara yang berlaku apa yang tidak sepatutnya berlaku yang mungkin disebabkan oleh faktor penentu yang lain.